fb fb fb fb fb

Peniaga rugi RM1.2 juta ditipu ejen pelaburan

FOTO FAIL

IPOH, 12 Jun - Seorang peniaga kerugian RM1.2 juta selepas ditipu pelaburan perniagaan barang-barang terpakai secara bersemuka.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 48 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

"Siasatan awal mendapati pada pertengahan tahun 2022 mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan.

"Suspek telah menawarkan satu pelaburan perniagaan barang-barang lusuh yang mendatangkan keuntungan hingga 4 peratus sebulan daripada modal yang dilaburkan. Tempoh 18 bulan diperlukan untuk mendapatkan pulangan modal tersebut.

"Oleh kerana tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah mengeluarkan tiga keping cek berjumlah RM1.2 juta kepada suspek,"katanya.

Mangsa menyedari ditipu selepas suspek memberi pelbagai alasan apabila mangsa ingin mendapatkan pulangan pertama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF