fb fb fb fb fb

Wanita OKU parah dikelar ibu kandung

FOTO FAIL

DUNGUN, 12 Jun - Seorang wanita kurang upaya cedera parah selepas dikelar ibu kandungnya sendiri dengan sebilah parang, di Felda Kerteh 6 Dungun, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi berkata, mangsa berumur 40 tahun merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) mental mengalami kecederaan parah di leher dan dada akibat dikelar.
 
"Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang tidur di biliknya manakala ibunya berumur 71 tahun berada di ruang tamu bersama-sama dua lagi anaknya.
 
"Tidak lama kemudian dua anak melihat suspek memasuki bilik tidur mangsa namun tidak mengesyaki apa-apa sebelum terdengar  jeritan dan melihat suspek sedang mengelar mangsa.
 
"Kedua-dua anak suspek kemudiannya bertindak merampas senjata yang digunakan suspek sebelum menghubungi pihak polis," kata Maizura.

 Beliau turut memaklumkan suspek sering berhalusinasi selepas kematian suaminya kira-kira sebulan yang lalu.
 
Suspek telah ditahan di kediamannya manakala mangsa telah dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.
 
Ibu mangsa dibawa ke wad psikiatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
 
Kes disiasat bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata dan bahan berbahaya.

TETITIA YUSOFF