fb fb fb fb fb

Penganggur buat hantaran jelik berkaitan Islam didenda RM10,000

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos- Seorang penganggur didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik mengenai agama Islam melalui Facebook tiga tahun lepas.

Hakim Siti Aminah Ghazali yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Engkiai Suwai, 48, turut memerintahkan lelaki berkenaan dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Engkiai didakwa membuat dan memulakan penghantaran bersifat jelik itu menerusi akaun Facebook “Engkiai Kiai” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 20 Mei 2021.

Hantaran itu telah dibaca di Pejabat Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Wangsa Maju di sini pada 11.24 pagi, 22 Mei 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana perbuatan tertuduh menyentuh sensitiviti agama.

"Walaupun tertuduh telah memohon maaf, namun perbuatan dilakukannya memberi impak kepada masyarakat dan tertuduh sedar bahawa hantaran itu menyentuh sensitiviti agama.

"Tertuduh gagal menjaga tatasusila dan tidak mematuhi etika terutama berkaitan mana-mana agama dan wajar diberikan satu hukuman yang maksimum," katanya.

Engkiai yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun merayu dikenakan hukuman ringan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain dirinya bapa tunggal yang menanggung enam anak.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN