fb fb fb fb fb

Penahanan enam rakyat Malaysia di Thailand berpandukan bukti kukuh

FOTO Polis Diraja Thai

NARATHIWAT, 9 November- Polis Thailand hari ini memaklumkan bahawa penahanan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita popular di sebuah hotel di pekan Sungai Golok pada 1 Nov, adalah berpandukan pada bukti kukuh yang diperoleh.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok Kol Pol Jedsadavit Ingprapan berkata siasatan polis berpandukan pada bahan bukti yang ditemukan di tempat kejadian, iaitu 6,000 biji pil kuda dan ujian urin yang disahkan positif methamphetamine.

Beliau berkata kesemua rampasan termasuk bungkusan plastik pil kuda telah dihantar untuk ujian forensik bagi mengenal pasti cap jari, selain ujian DNA.

"Keputusan bagi ujian berkenaan dijangka diperoleh dalam tempoh sebulan lagi dan keputusan sama ada mereka ini bersalah atau sebaliknya akan diputuskan oleh mahkamah, kerana polis hanya menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Sungai Golok di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan serbuan yang dilakukan terhadap kesemua suspek yang kononnya dirancang, beliau menafikan perkara itu kerana serbuan dilakukan berdasarkan maklumat diperoleh dan tidak pernah 'memilih bulu' sama ada suspek rakyat Thailand atau warga asing.

Jedsadavit berkata pihaknya tidak mengetahui bahawa suspek yang ditahan itu adalah orang terkenal atau orang biasa, kerana anggota polis menjalankan serbuan berdasarkan maklumat yang diterima.

"Standard polis sama sahaja tanpa mengira individu itu popular atau tidak. Jika dikatakan serbuan ke atas enam suspek itu dirancang atau 'khianat' ia adalah tidak benar, kerana ramai lagi rakyat Malaysia yang datang berkunjung dan berhibur di pekan Sungai Golok.

"Jika suspek atau mana-mana individu merasakan mereka (suspek) ini dikhianat, mereka boleh mengemukakan aduan kepada polis untuk digunakan di mahkamah kelak," katanya.

Jedsadavit berkata setakat ini siasatan polis lebih tertumpu kepada bukti yang ditemukan.

"Jika dilihat kepada jumlah dadah yang banyak (6,000 biji) sudah pasti ia untuk tujuan pengedaran dan bukan kegunaan sendiri sahaja," katanya.

Pada Jumaat, Bahagian Narkotik dari Balai Polis Sungai Golok telah melakukan serbuan di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok pada pukul 5 pagi dan menahan enam rakyat Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun atas kesalahan memiliki dadah.

Hasil siasatan polis mendapati suspek yang ditahan memiliki 6,000 biji pil jenis ‘pil kuda’ dan telah memasuki Thailand tanpa dokumen sah.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE