fb fb fb fb fb

Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu tuntut Penjana 2.0

(FOTO BERNAMA)

ALOR SETAR, 16 Oktober- Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM231,340 di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dua tahun lepas.

Mohd Yuzri Azhan Md Yusoff, 38, pemilik syarikat Azhken Smart Global (syarikat scaffolding) didakwa memberikan borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu kepada seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut insentif RM231,340 itu melalui seorang wanita.

Tertuduh didakwa memperdayakan PERKESO dengan mengemukakan kesemua dokumen yang mengandungi butiran palsu, iaitu senarai 16 pekerja yang dinamakan dalam dokumen berkenaan yang bukan pekerja Azhken Smart Global.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat PERKESO, Jalan Teluk Wanjah di sini antara 4 Mei 2021 dan 21 Ogos 2021 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Yuzri juga mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pilihan iaitu menggunakan dokumen serupa sebagai tulen pada tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi semua pertuduhan terhadap bapa empat orang anak itu dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Nov ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Salizawaty Abd Samad manakala tertuduh diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin.-BERNAMA

(FOTO BERNAMA)

Media Baharu