KLANG, 20 Julai – Lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda dan tular kerana menghimpit serta mengancam pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara mendakwa tindakannya didorong kecemasan melibatkan ibunya yang terjatuh.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) S. Vijaya Rao berkata, lelaki berusia 29 tahun itu hadir membuat laporan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara kira-kira pukul 10 malam tadi dengan ditemani peguam.
“Berdasarkan keterangannya, suspek dalam perjalanan ke rumah ibunya untuk membawa wanita itu ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah, dan dia telah dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 3 pagi tadi.
Kes kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, polis memaklumkan sedang mengesan pemandu terbabit selepas insiden tular yang dirakam kamera papan pemuka menunjukkan kenderaan tersebut menghimpit pengguna jalan lain ketika cuba menyelit dalam kesesakan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bukit Raja menuju ke Lebuhraya Persekutuan.