JOHOR BAHRU, 12 November - Tujuh ahli sindiket pengedaran dadah diberkas bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM28 juta dalam tiga serbuan berasingan di Kluang dan Iskandar Puteri, Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan dibuat pada 8 malam 3 November sehingga 11 pagi, 4 November lalu.
Menurutnya, kesemua suspek berusia 27 hingga 62 tahun itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita tempatan selain dua wanita warga asing.
Beliau berkata, dua daripada suspek didapati positif dadah dan seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.
Katanya, sindiket dipercayai aktif sejak Ogos lalu dengan memborong bekalan dadah dari luar negara sebelum membungkus semula dan mengedarkannya di pasaran tempatan.
"Sindiket ini menggunakan rumah teres dikawasan perumahan yang berpengawal untuk proses membungkus semula dadah selain dijadikan stor penyimpanan dadah.
"Dadah ini kemudian diedarkan ke pasaran sekitar Johor. Sindiket ini boleh dikategorikan sebagai pemborong besar dadah.
"Hasil siasatan awal juga mendapati sindiket ini memproses jus yang mengandungi dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru hari ini.
Polis turut menyita empat kenderaan, peralatan memproses dadah, wang tunai berjumlah RM12,200 dan pelbagai jenis mata wang asing bernilai RM2,961 serta pelbagai barangan kemas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Ddah Berbahaya 1952, manakala dua warga asing yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)( c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.