KUANTAN, 12 November - Seorang jurutera kerugian RM146,000 selepas terpedaya dengan pembelian sebuah kenderaan import berjenama Volkswagen Kombi melalui media sosial pada 4 November lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan, mangsa seorang lelaki berumur 38 tahun itu tertarik dengan iklan penjualan kereta berkenaan telah bertindak menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Hasil perbualan tersebut, mangsa telah bersetuju membeli empat buah kenderaan jenis itu dengan harga keseluruhan RM146,000.
"Mangsa kemudian membuat 15 transaksi wang ke empat akaun bank berbeza yang diberikan suspek dengan mengunakan wang simpanannya.
"Walaubagaimanapun, mangsa mula menyedari ditipu apabila suspek mengatakan tidak perlu berjumpa untuk mengambil kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang untuk siasatan.
Tambahnya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan penjualan tawaran murah.
Selain diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.##.