fb fb fb fb fb

Pekerja kilang dituduh miliki bahan pengganas Daesh

Pekerja kilang, Suhaini memakai pelitup muka didakwa atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), bulan lalu/ Foto RTM

JOHOR BAHRU, 27 Jun - Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini hari ini, atas dua pertuduhan memiliki artikel dan bahan bacaan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Tertuduh, Suhaini Sarwan, 46 tahun, menjawab faham, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki artikel-artikel berkaitan kumpulan pengganas IS dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi, pada 30 Mei lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didapati memiliki bahan bacaan iaitu lima buah buku berkaitan dengan kumpulan pengganas IS dan perbuatan pengganas di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, pada tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan boleh dihukum mengikut Seksyen 130JB(1) Kanun yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Julai hadapan untuk keputusan permohonan pemindahan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada Selasa lalu, tertuduh dan suaminya telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas lima pertuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS, bulan lalu.

GRACE AISYAH KEDAYAN