fb fb fb fb fb

Pegawai kastam mengaku tidak bersalah terima rasuah RM14,950

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 23 Mei - Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 38 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM14,950 antara Mac 2017 hingga September 2021.

Tertuduh, Wan Azmany Wan Ali @ Wan Abdul Aziz, 46 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Kastam Kanan Gref WK22 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati memperoleh wang antara RM100 hingga RM3,000 daripada seorang pemilik ejen perkhidmatan pengangkutan kargo di KLIA.

Ia sebagai balasan melancarkan urusan pemilik ejen perkhidmatan pengangkutan kargo berkenaan. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Kebun Teh, di sini antara 27 Mac 2017 hingga 2 September 2021.

Kes mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala tertuduh diwakili peguam, Jamaludin Abdul Jalil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 9 Julai depan bagi serahan dokumen.

Customer Support