fb fb fb fb fb

PDRM terima 44 laporan ancaman bom palsu di sekolah seluruh negara

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 23 November- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 44 laporan polis diterima berhubung ancaman bom palsu di sekolah seluruh negara sejak Selasa lepas sehingga pukul 8 pagi tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata jumlah yang diterima itu melibatkan sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata, dipercayai ancaman bom tersebut dihantar ke setiap sekolah dengan menggunakan alamat e-mail yang sama.

"Hasil siasatan mendapati negara lain juga turut mendapat ancaman bom palsu seperti Jamaica (dikenal pasti sebanyak 70 panggilan bom palsu), Trinidad dan Tobago, Jerman dan Amerika Syarikat.

“Kita masih meneruskan siasatan kita dengan bantuan-bantuan negara terlibat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI),” katanya.

Razarudin turut memberi jaminan kepada ibu bapa, murid-murid dan guru-guru bahawa keselamatan mereka adalah keutamaan polis.

Beliau ditemui media ketika majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3c Sempena Sambutan Bulan Intergriti Tahun 2023 di Maktab PDRM, Cheras, hari ini.

Jelasnya, polis menerima satu laporan di kedah, 17 laporan di Selangor, tujuh di Kuala Lumpur, tiga laporan di Negeri Sembilan, enam laporan di Johor Bharu, dua laporan di Sabah dan tiga laporan diterima di Sarawak mengenai ancaman bom palsu tersebut.

Polis telah menjalankan tindakan pembersihan keselamatan di sekolah-sekolah terlibat yang kononnya ada ditanam bom di kawasan sekolah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE