fb fb fb fb fb

Ops Tapis: Empat penjawat awam antara ditahan salah guna dadah

Rampasan dadah jenis syabu dalam Ops Tapis/Foto PDRM

KOTA BAHRU, 17 April - Empat penjawat awam antara yang ditahan menerusi Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan selama 16 hari yang berakhir semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mereka antara 1,072 individu yang ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 59 tahun terdiri daripada 1,051 lelaki dan 21 wanita.
 
Dua daripada suspek merupakan anggota polis yang mana hasil ujian saringan air kencing ke atas penjawat awam terbabit mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu.

"Tumpuan operasi di kawasan sasaran yang dikenal pasti  iaitu di kawasan pot-pot aktif atau sarang penagih yang menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
 
"Sementara operasi bersepadu di sempadan dilaksanakan bagi mengekang penyeludupan dadah dari negara jiran melalui sempadan ke negara ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar beliau, antara lokasi terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah adalah Tumpat, Pasir Mas dan Bachok.

Jelas beliau, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggar bernilai lebih RM284,532.00

PDRM Kelantan akan terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri itu dan mengharapkan masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti terbabit yang berlaku di sekeliling mereka melalui HOTLINE JSJN di talian 012-2087222 dan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7455555.

GRACE AISYAH KEDAYAN