fb fb fb fb fb

MCMC, PDRM pergiat usaha banteras jenayah seksual kanak-kanak

Foto MCMC, PDRM

CYBERJAYA, 23 Jun- Sebanyak 94 peratus daripada 1,501 kandungan berunsur jelik berkaitan kanak-kanak yang dikesan setakat 15 Jun lalu, berjaya diturunkan daripada platform dalam talian.

Ini menerusi kerjasama rapat dengan penyedia platform digital serta aduan yang dibuat oleh orang awam.

Menurut kenyataan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), usaha membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak akan terus dipergiat.

Pelaksanaannya melalui tindakan penguatkuasaan yang berterusan dan inisiatif pendidikan kesedaran kepada masyarakat.

"Pemantauan harian dan operasi seperti ‘Op Pedo’ yang dilaksanakan pada Disember 2024 turut membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dari beberapa negeri," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM1 juta, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, perbuatan menghasilkan, menyebar, berkongsi, menjual, membeli, membuat capaian dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak juga merupakan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5 hingga 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sebagai usaha pencegahan, MCMC terus memperluas pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang memberi tumpuan kepada golongan pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat.

Kempen itu turut menekankan kepentingan mematuhi had umur minimum 13 tahun bagi penggunaan akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak.

MCMC dan PDRM turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pemimpin komuniti, pemilik platform dan pengguna internet agar berganding bahu dalam membendung jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID