SERDANG, 23 Jun – Seramai 10 individu tempatan ditahan dalam satu serbuan polis di sebuah premis di Bandar Puteri, Puchong kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan berkaitan mata wang asing yang mengakibatkan kerugian mencecah RM399,787.
Ketua Polis Daerah Serdang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Muhamad Farid Ahmad berkata kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 38 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan itu berperanan sebagai pengurus operasi, pembangun platform, kakitangan khidmat pelanggan serta pentadbir yang menguruskan dokumen berkaitan syarikat.
“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga tempatan dan juga asing. Setakat ini, lebih 2,500 klien telah berdaftar dalam aplikasi pelaburan yang dibangunkan mereka.
“Modus operandi sindiket adalah mempromosikan aplikasi tersebut melalui media sosial, menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat. Pada peringkat awal, mangsa diberikan keuntungan seperti yang dijanjikan bagi meyakinkan mereka sebelum ditipu dengan pelaburan susulan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini hari ini.
Tambah Muhamad Farid ,selain warga tempatan, sindiket turut menarik pelabur dari luar negara termasuk Indonesia, India dan Bhutan.
Hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing ke atas mereka didapati negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.