KUALA KEDAH, 13 Januari - Lima lelaki disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 6.6 batu nautika barat laut muara Kuala Kedah, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.
"Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati lima orang warga Myanmar hanya memiliki sekeping kad yang meragukan kerana kad terbabit tidak mempunyai data pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah," menurut kenyataan itu.
Berikutan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebatan tidak lebih enam kali, jika disabit kesalahan.
Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.