fb fb fb fb fb

Mahkamah tolak pengakuan bersalah bapa abaikan anak tidur di kaki lima rumah

Tertuduh, Roslan Abas, 56 tahun terdahulu membuat pengakuan salah bagi pertuduhan itu, sebelum ditolak Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, kerana ia dibuat secara bersyarat

JOHOR BAHRU, 15 Julai - Mahkamah Sesyen Johor Bahru menolak pengakuan bersalah seorang pencari barang lusuh yang didakwa melakukan pengabaian terhadap anak lelakinya, antara 7 hingga 9 Julai lalu.
 
Tertuduh, Roslan Abas, 56 tahun terdahulu membuat pengakuan salah bagi pertuduhan itu, sebelum ditolak Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, kerana ia dibuat secara bersyarat.

Mengikut kertas pertuduhan, Roslan didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya telah mengabaikan remaja berusia 14 tahun itu dengan cara membiarkannya tidur di kaki lima rumah, di sebuah Flat di Pasir Gudang.
 
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen 31(1) akta sama.
 
Sabit kesalahan didenda tidak melebihi 50 ribu ringgit atau penjara tidak lebih 20 tahun, atau kedua-duanya.
 
Hakim membenarkan jaminan 3 ribu ringgit selain tidak membenarkan tertuduh mengganggu saksi.
 
Tarikh sebutan semula 29 Julai nanti serta lantikan peguam bagi tertuduh.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN