GEORGE TOWN, 10 Ogos- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot bersama lima nelayan warga Indonesia yang disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan, semalam.
Pengarahnya, Kapten Razali Kasim berkata penahanan dilakukan ketika aset KM Burau melaksanakan operasi di sekitar 55 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi pada 11.45 pagi.
"Kapal APMM menghampiri bot nelayan asing itu dan mengarahkan berhenti bagi melakukan pemeriksaan lanjut namun bot berkenaan enggan berbuat demikian sehingga berlaku aksi mengejar hampir satu jam sebelum bot tersebut berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Razali, hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran dan anggaran sebanyak 150 kilogram hasil tangkapan ikan turut dirampas.
"Kesemua kru berusia 25 hingga 40 tahun itu juga gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
Kesemua lelaki itu ditahan manakala bot dan hasil tangkapan mereka dirampas untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1986.