PAPAR, 27 Oktober- Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki yang merogol anak saudaranya yang berusia 12 tahun di sebuah kampung di daerah Papar.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, suspek ditahan menerusi satu serbuan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar kira-kira pukul 2 petang semalam.
Beliau berkata, turut dirampas adalah pakaian dan juga kenderaan milik suspek.
"Kejadian rogol berlaku ketika suspek menjemput mangsa yang selesai sesi persekolahan.
"Menurut laporan, suspek merogol mangsa di dalam kereta kereta milik suspek di kawasan tepi jalan berhampiran Kampung Langsat. Selepas merogol mangsa, suspek menghantarnya pulang ke rumah seperti biasa," katanya.
Kamaruddin berkata, siasatan lanjut turut mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek adalah adik-beradik kepada bapa mangsa dan tinggal berhampiran dengan rumah mereka.
"Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, untuk pemeriksaan lanjut dan menyatakan perkara itu hanya berlaku sekali.
"Suspek ditahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,"katanya.
Tambah Kamaruddin, tahanan reman akan dipohon selama tujuh hari bagi membantu siasatan.