KOTA SAMARAHAN, 13 November — Seorang lelaki tempatan disyaki menjadi keldai akaun bagi sindiket penipuan kerja sambilan dalam talian ditahan menerusi Op Belatuk petang semalam.
Suspek, 24, berasal dari Saratok, dikehendaki polis Pulau Pinang berhubung kes penipuan yang menyebabkan seorang Eksekutif Sumber Manusia kerugian RM29,651 pada Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie berkata penahanan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Saratok.
“Suspek mengaku memiliki akaun tersebut dan mengakui pernah memberikan butiran penting kepada individu tertentu bagi urusan pemindahan wang kepada keluarganya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata suspek tidak mengetahui kemasukan serta pengeluaran wang daripada akaun berkenaan.
Kes diserahkan kepada polis Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.