fb fb fb fb fb

Lelaki cuba seludup keluar dadah bernilai RM177,120 di Tawau

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Zon Sabah bersama dadah yang dirampas dalam satu serbuan pada 30 April lalu/Foto RTM Tawau

TAWAU, 4 Mei - Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dipercayai cuba menyeludup keluar lebih lapan kilogram dadah dianggarkan bernilai RM177,120.60 melalui jeti Kastam Imigresen dan Kurantin (CIQ) Lama di sini pada Khamis lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, suspek ditahan bersama 1,001 pil Ecstasy dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.36 petang.

"Suspek membawa satu bungkusan kotak berwarna coklat yang terdapat dua paket teh cina berisi 5.06 kilogram di dalam kotak berkenaan disyaki dadah jenis syabu.

"Kesemua dadah dipercayai cuba dibawa dari luar negara untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, suspek dalam perjalanan dari tanah besar Tawau menuju ke Pulau Sebatik kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, pihaknya kini giat melakukan penyiasatan jika kes membabitkan sindiket dadah.

GRACE AISYAH KEDAYAN