fb fb fb fb fb

28 lelaki merusuh bersenjatakan parang ditahan polis

Tangkap layar video menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang merosakkan sebuah kenderaan di Jalan Raja Uda, Butterworth

BUTTERWORTH, 4 Mei - Seramai 28 lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan bersenjatakan parang di Jalan Raja Uda, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata kesemua suspek berusia 17 hingga 51 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang hari ini.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan pertengkaran dan provokasi sesama mereka.

"Polis turut merampas barang kes yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

"Kesemua suspek yang ditahan bagaimanapun kini direman oleh Mahkamah Majistret Butterworth untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd. Asri, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Katanya, polis kini sedang giat mengesan saki baki suspek lain dan pihak yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Nasrina Darus di talian 04-5762222," katanya.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video berdurasi empat saat yang mana sekumpulan lelaki bersenjatakan parang merusuh dan menyerang sebuah kereta yang dipercayai berlaku di kawasan Raja Uda di sini.

GRACE AISYAH KEDAYAN