fb fb fb fb fb

Lapan lelaki China didakwa jalankan aktiviti pelaburan tidak wujud

Lapan lelaki warganegara China di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud.

JOHOR BAHRU, 23 Oktober- Lapan lelaki warganegara China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud, awal Oktober lalu.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin, di hadapan Majistret R. Salini.

Tertuduh terdiri daripada Wu Wei Bin, 38; Zhang Hao, 35; Fan Zi Chao, 33; Lin Wen Jie, 22; Hu Zhi Cong Liu Bo Nan yang masing-masing berusia 27 tahun serta Gao Jun Jie dan Feng Xiao Wei masing masing berusia 19 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, setiap mereka didapati secara bersama-sama melakukan pakat jahat jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu tipu tawaran pelaburan tidak wujud.

Perbuatan itu yang dilakukan menggunakan lapan buah komputer riba pelbagai jenama dan 41 buah telefon bimbit pelbagai jenama di sebuah premis di Jalan Austin Height 2/14, Taman Mount Austin, di sini pada 9 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 120(B)(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada enam bulan, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 13 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

ZEHRA BINTI ZAMBRI