RAWANG, 11 Jun – Sebanyak 2,120 botol produk pencuci detergen disita dalam satu operasi khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Gombak, selepas disyaki menggunakan cap dagang berdaftar secara tidak sah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, rampasan tersebut dibuat dalam Operasi GEMPUR yang dijalankan di sebuah premis kilang di Rawang, semalam.
"Pemeriksaan ke atas premis itu hasil risikan selama dua minggu mendapati produk-produk tersebut dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada produk tulen.
“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan sebanyak RM29,680,” katanya dalam sidang media selepas operasi.
Tambah beliau, serbuan melibatkan 15 anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Gombak bersama pemilik cap dagang bagi jenama yang terjejas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana kesalahan menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran.
Jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh mencecah RM20,000 dan penjara lima tahun.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkannya menerusi WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000, Talian Hotline 03-8882 6088/6245, Portal e-Aduan KPDN atau aplikasi Ez-Adu.