KUALA TERENGGANU, 13 Februari- Seorang polis berpangkat konstabel didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tertuduh, Abdul Aziz Mustapha, 32 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Ohtman.
Mengikut fakta kes, tertuduh dituduh dengan dua pertuduhan atas kesalahan meminta wang suapan sebanyak RM2,000 dan menerima wang sebanyak RM1,000 daripada dua orang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan itu dilakukan pada 8 Oktober 2023, pada pukul 12.40 tengah hari di tempat letak kereta medan selera Kota Putera Besut.
Hari ini, tertuduh ditawarkan oleh pihak pendakwaan dengan pertuduhan pilihan bagi pertuduhan utama kedua bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan selepas tertuduh mengemukakan representasi.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan pilihan bagi pertuduhan utama kedua mengikut Seksyen 165 Kanun Keselesaan, iaitu menerima wang berjumlah RM1,000.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan boleh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fadhly Mohd Zamry dan tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein.