fb fb fb fb fb

Kes tembakan Durian Tunggal diklasifikasi semula di bawah seksyen 302

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung insiden tembakan yang melibatkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan taklimat berkaitan telah diberikan hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata hasil penelitian Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat asas kukuh untuk menerima syor PDRM supaya siasatan kes berkenaan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan membunuh.

Menurut beliau, keputusan tersebut membolehkan siasatan diteruskan secara lebih menyeluruh dan terperinci selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“PDRM menegaskan komitmen untuk memastikan setiap proses siasatan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang bagi menjamin keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang sepanjang proses siasatan dijalankan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas secara profesional.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI