fb fb fb fb fb

Kes tembak di KLIA: 11 Ogos depan, sebutan semula kes

Hafizul Hawari diiringi polis ketika tiba di mahkamah

KOTA BHARU, 30 Jun- Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes melibatkan seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Hakim, Zulkifli Abllah menetapkan tarikh itu bagi mengetahui status kes tertuduh, Hafizul Hawari untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor.

Hafizul diwakili peguam bela, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad.

Nik Mohd Faris pada prosiding hari ini berkata, pihaknya memohon untuk memindahkan kes tersebut kerana tertuduh berdepan pertuduhan lain di Selangor iaitu membabitkan dakwaan cubaan membunuh.

Beliau berkata, mahkamah bagaimanapun menetapkan 11 Ogos sebagai tarikh sebutan semula bagi mengetahui status permohonan berkenaan.

Katanya, anak guamnya kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Media sebelum ini melaporkan, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.

Bagaimanapun tertuduh mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa memiliki pistol tertulis Glock 19 Austria Made In Turkey dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan sebuah hospital swasta di sini, pada pukul 2 petang, 15 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama. Ia memperuntukkan maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum bawah akta sama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE