fb fb fb fb fb

Kes samun: Polis Perak giat kesan kumpulan penjenayah bersenjatakan parang di Muallim

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir

MUALLIM, 6 Jun- Polis Perak giat mengesan kumpulan penjenayah yang disyaki terlibat dalam enam kes samun sekitar Tanjung Malim, tahun ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata pihaknya percaya keenam-enam kes tersebut dilakukan oleh kumpulan sama.

Modus operandi kumpulan terbabit yang dianggotai empat suspek melakukan samun di kawasan perumahan dengan menaiki kenderaan dan bersenjatakan parang.

Kejadian terbaharu berlaku pada Selasa lalu, membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.

"Kita percaya suspek ini mungkin dari daerah Muallim atau daerah Ulu Bernam. Kita sedang dalam proses untuk mengenal pasti suspek. Macam baru-baru ini, berlaku pada pukul 7.50 petang. Empat suspek berbangsa India menaiki kereta."

"Kita percaya mereka telah buat pemerhatian dari awal. Mereka ceroboh rumah satu rumah warga India ini, dengan bersenjatakan parang, mereka ambil gelang tangan," kata Mohd Hasni kepada pemberita dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Muallim di perkarangan IPD Muallim.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Abdullah Abdul Talib kerana telah memberikan bantuan awal kepada mangsa pesawat ringan yang terhempas di Hutan Simpan Gunung Besout 1 pada 4 Mei lalu.

Tindakan pantas penyelia ladang itu menghulurkan bantuan dan menghubungi pihak berwajib telah menyelamatkan dua nyawa mangsa terlibat.

"Alhamdulillah, rasa syukurlah dihargai. Saya tidak mengharap untuk dapat penghargaan ini tetapi bila sudah dipanggil, saya hadirlah. Terima kasih PDRM, rasa sangat gembira," kata Abdullah kepada pemberita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM