fb fb fb fb fb

Edar dadah, pasangan suami isteri berdepan hukuman mati

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 6 Jun- Sepasang suami isteri berdepan hukuman mati atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 204.15 gram.

Kedua-dua tertuduh, Abdul Maini Abdul Wahab, 38 tahun dan isterinya, Yusnita Yunus, 39 tahun mengangguk faham sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Yuhanis Mohd. Roslan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan berkenaan yang bekerja sebagai mekanik dan peniaga keropok lekor.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Sebutan semula kes ditetapkan 11 September depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Othman Ibrahim.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD