fb fb fb fb fb

APMM tahan bot nelayan bersama tekong, kru warga asing

Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

PASIR PUTEH, 5 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong dan lima kru warga asing di kedudukan enam batu nautika dari muara Tok Bali, semalam.

Pengarah Maritim Kelantan Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata penahanan dilakukan selepas bot itu dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh bot peronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati tekong bersama seorang kru memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Tekong dan kesemua kru terbabit berusia antara 31 hingga 54 tahun dan disyaki warga Vietnam. Mereka dibawa ke Jeti APMM Kelantan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Erwan Shah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau insiden di laut menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan 09-7780 070.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI