KOTA BHARU, 4 November- Dua daripada enam rakyat Malaysia yang ditahan di sebuah hotel di Golok, Thailand Jumaat lalu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan perkara itu apabila kedua-dua suspek adalah lelaki yang ditahan bersama empat lagi individu termasuk seorang artis wanita yang popular di negeri itu.
Kesemua individu yang ditahan turut positif dadah jenis Methamphetamine.
"Dua orang, dua-dua lelaki. Memang dia buat kerja dadah dan mereka semua pun positif dadah, hasil ujian air kencing.
Mereka ditahan lagi untuk siasatan. Hari ini, baru hantar untuk reman," kata Datuk Mohd Yusoff kepada pemberita.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis suai kenal bersama media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini.
Sebelum ini, media melaporkan rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat wanita Kelantan ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok kerana memiliki 6,000 biji pil kuda.
Tangkapan membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 32 tahun ini dibuat pada pukul 6.00 pagi (waktu Malaysia) Jumaat lalu di sebuah bilik hotel selepas selesai berhibur.