JERANTUT, 15 November - Seorang peniaga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jerantut, Pahang atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kad pengenalan anaknya di Pejabat Pendaftaran Negara Temerloh, tahun lalu.
Majistret, Mohamed Shah Reza Noor Azman menjatuhi hukuman denda RM1,800 kepada Khairul Anuar Zaini dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda, boleh dipenjara 12 bulan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran & Kematian 1957 (Akta 299).
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu sewaktu mendaftarkan kelahiran bayi lelaki yang kini berusia 12 tahun.
Kes tertuduh berjaya dikesan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Temerloh apabila datang untuk membuat kad pengenalan anaknya pada 2022 .
JPN akan terus membuat siasatan terhadap tujuh anak tertuduh yang lain apabila tiba usia 12 tahun untuk membuat kad pengenalan.