fb fb fb fb fb

JKDM Melaka tumpaskan sindiket seludup rokok, minuman keras bernilai RM12.8 juta

Nadzri Che Ani

AYER KEROH, 30 Mei- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai RM12.8 juta dalam dua operasi berasingan di Johor Bahru dan Batu Pahat, Johor.

Pengarah JKDM Melaka Nadzri Che Ani berkata, kes pertama membabitkan pemeriksaan ke atas tiga buah kenderaan yang ditinggalkan pemandunya selepas dikejar penguat kuasa kastam pada Isnin lalu.

Sebanyak lebih 4,000 liter minuman keras pelbagai jenama melibatkan nilai termasuk cukai berjumlah RM203,603.12 ditemukan di dalam dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kenderaan SUV.

"Kenderaan-kenderaan tersebut digunakan untuk mengangkut minuman keras pelbagai jenama yang tidak berkastam. Semasa operasi, pemandu kenderaan tersebut telah meninggalkan kenderaan dan melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan mendapati minuman keras pelbagai jenama telah dimuatkan ke dalam kenderaan-kenderaan tersebut dan terdapat cetakan huruf MDNP pada setiap tin minuman keras membawa maksud Malaysian Duty Not Paid," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat JKDM negeri di sini.

Sementara itu bagi kes kedua, ia merupakan rampasan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM12.59 juta di sebuah gudang di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor pada 28 Februari lalu.

Modus operandi sindiket adalah menggunakan sebuah gudang yang tidak mempunyai papan nama untuk menyimpan barang kes bagi mewujudkan satu situasi seolah-olah gudang tersebut tidak beroperasi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan pasukan telah menjumpai lebih 15 juta batang rokok dan 33,835 liter minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di dalam gudang tersebut selain dua buah lori serta sebuah kontena.

Bagaimanapun pihaknya masih lagi menyiasat kedua-dua kes sama ada mempunyai kaitan atau rangkaian sindiket yang terlibat dalam dalam penyeludupan rokok dan minuman keras bagi pasaran di bahagian selatan.

Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI