fb fb fb fb fb

Bekas Presiden PPOC mengaku salah tuduhan pecah amanah jualan tanah

Kamarulzaman Abdullah di Mahkamah Sesyen Ipoh

IPOH, 30 Mei- Bekas Presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat Perak (PPOC) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan pecah amanah hasil jualan dua bidang tanah milik persatuan itu, bernilai hampir RM500,000 pada 2019 dan 2020.

Tertuduh Kamarulzaman Abdullah, 65 tahun, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman satu hari penjara bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh jatuh hukuman.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM80,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Mahkamah juga memerintahkan wang tunai yang disita berjumlah RM11,200 dilucuthakkan bawah Seksyen 40(1) (a) Akta SPRM 2009 kepada kerajaan Malaysia.

Selain itu, wang simpanan dalam empat buah bank yang berkaitan berjumlah RM49,903 berserta faedah turut dilucuthak bawah seksyen dan akta sama, kepada kerajaan Malaysia.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh yang diamanahkan dengan hasil jualan dua bidang tanah di Kampung Tengku Husin Baharu, Ipoh bernilai RM540,000 telah melakukan pecah amanah jenayah dengan memindahkan sebahagian wang penjualan tanah tersebut berjumlah RM413,974 kepada akaun peribadinya, pada Disember 2019.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan RM30,000 dan RM48,500 hasil jualan tanah sama ke dalam akaun dua buah syarikat milik anak tirinya pada 8 November 2019 dan 1 Januari 2020.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, tertuduh dituduh bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI