ALOR SETAR, 29 Mei- Lebih 5,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM11,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, rampasan dibuat menerusi hasil serbuan ke atas sebuah stor tidak bernombor di Simpang Empat, Alor Setar, pagi tadi.
Beliau berkata hasil risikan yang dijalankan, anggota penguat kuasa KPDN Kedah telah membuat serbuan ke premis berkenaan kira-kira pukul 10.45 pagi.
Ketika serbuan dilakukan, tiada pemilik ditemui di premis tersebut.
Pemeriksaan lanjut telah menemui sejumlah minyak diesel yang disimpan di premis tersebut tanpa lesen atau permit yang sah.
Turut disita, 1 unit motolori bernombor pendaftaran tempatan, 10 unit tangki IBC (Intermediate Bulk Container) dan peralatan yang digunakan memindah barang kawalan tersebut dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM30,765.00.
Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.