fb fb fb fb fb

JKDM Kelantan gagalkan cubaan seludup ganja bernilai RM10 juta

Foto JKDM Kelantan

RANTAU PANJANG, 28 Julai - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup ganja seberat lebih 102 kilogram dianggarkan bernilai RM10 juta, Rabu lalu.

Rampasan dilakukan di dua lokasi berbeza iaitu pintu 1, Zon Bebas Cukai dan Hentian Bas Rantau Panjang.
 
Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata menerusi rampasan berkenaan, pihaknya menahan tiga individu termasuk dua wanita.
 
"Rampasan pertama dilakukan pada pukul 10.30 pagi selepas pemeriksaan dibuat terhadap tiga beg yang ditinggalkan di pintu 1 Zon Bebas Cukai.

"Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati ketiga-tiga beg itu mengandungi 88 peket plastik lutsinar yang disyaki bunga ganja.

"Pada masa sama, pemeriksaan turut dijalankan terhadap seorang wanita yang menunggang motosikal sambil membawa beg melalui Pintu 1, dan pemeriksaan menemui 32 peket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi bunga ganja.
 
"Hasil siasatan terhadap suspek wanita berkenaan, serbuan dilakukan di Hentian Bas Rantau Panjang berjaya merampas dua beg mengandungi 60 peket plastik lutsinar disyaki bunga ganja.
 
"Serbuan itu turut menahan dua lagi individu iaitu seorang lelaki dan perempuan," katanya menerusi kenyataan.
 
Keseluruhan rampasan adalah membabitkan enam beg yang mengandungi 180 peket plastik lutsinar dengan anggaran berat lebih 102 kilogram yang disyaki mengandungi bunga ganja.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM