fb fb fb fb fb

JKDM Kedah tumpaskan sindiket seludup minuman keras tidak bercukai

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras tidak bercukai / Foto RTM

SUNGAI PETANI, 12 November – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras tidak bercukai hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori treler yang ditinggalkan berkunci tanpa sebarang dokumen pengimportan di kawasan perindustrian PKNS, Lebuh Raja Lumu, Port Klang, Selangor.

Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd. Latiff memaklumkan rampasan rampasan  hasil penemuan 27,336 liter minuman keras pelbagai jenama tersebut bernilai lebih RM281,000 dengan jumlah cukai melebihi RM611,000.

"Pemeriksaan pada 8 November lalu ini adalah hasil maklumat daripada sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasaan Sungai Petani Kedah dengan bantuan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam Cobra.

"Sejumlah minuman keras pelbagai jenis dan jenama, yang dipercayai sebagai barang larangan, telah ditemui dalam lori tersebut," katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, pemantauan di lokasi dilakukan selama hampir satu jam, namun tiada individu yang tampil sebagai pemilik lori atau barangan tersebut.

Minuman keras itu telah dibawa balik ke Pejabat Penguatkuasaan Sungai Petani, Kedah untuk tindakan lanjut.

Nor Izah menjelaskan minuman keras berstatus “Malaysian Duty Not Paid” adalah untuk pasaran di Pulau Bebas Cukai.

Mengikut Butiran 19, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2022, pengecualian duti/cukai diberikan tertakluk kepada jenis dan syarat-syarat tertentu bagi minuman keras tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN