KUALA LUMPUR, 5 Februari - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 58 warga asing dalam serbuan ke atas sebuah premis medan selera di Puchong yang dipercayai diusahakan oleh pendatang asing dari Myanmar dan Bangladesh dalam operasi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata premis seluas 1.6 hektar itu terletak di kawasan tanah persendirian di bandar Puchong, Selangor, dan serbuan dilakukan hasil aduan awam serta risikan selama seminggu.
“Hasil pemeriksaan, seramai 58 warganegara asing ditahan, terdiri daripada 31 lelaki dan 10 wanita warganegara Myanmar, dua lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia, sembilan lelaki warganegara Bangladesh, empat lelaki warganegara India serta seorang lelaki warganegara Vietnam
"Kesemua warganegara asing yang ditahan berusia di antara 18 hingga 40 tahun ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mereka dipercayai berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah tamat tempoh serta pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Operasi tersebut melibatkan seramai 95 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pengubahan Wang Haram (ATIPSOM dan AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.