KUALA LUMPUR, 5 Februari - Seorang bekas penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas sembilan pertuduhan rasuah dan membuat tuntutan palsu membabitkan lebih RM7 juta berhubung pembekalan dan perkhidmatan kepada Istana Negara, tiga tahun lepas.
Ibrahim Ishak, 43, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Tertuduh yang merupakan Ketua Seksyen Pentadbiran dan Teknologi Maklumat Istana Negara ketika kejadian didakwa menggunakan enam dokumen mengandungi butiran palsu melibatkan tuntutan berjumlah RM7,684,877, yang dinaikkan RM1,653,165 daripada nilai pembekalan sebenar berjumlah RM6,031,712.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 13 April 2022 dan 2 Jan 2024 di Pejabat Seksyen Kewangan dan Belanjawan, Istana Negara dengan pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Selain itu, Ibrahim juga didakwa atas dua pertuduhan cuba memperoleh suapan daripada seorang lelaki berjumlah RM210,000 dan SG$8,800 (RM28,909) sebagai upah meluluskan Permohonan Pesanan Tempatan sebuah syarikat bagi pembekalan Cenderahati Jam Tangan Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 berjumlah RM2,016,000.
Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa memperoleh suapan berjumlah RM72,000 daripada seorang individu sebagai upah meluluskan permohonan pesanan tempatan sebuah syarikat berhubung Sampul Ampun Kurnia, yang dilakukan di lokasi sama antara 29 Mac 2023 dan 27 Ogos 2024, di bawah Seksyen 17(a) akta sama.
Seksyen 18 dan Seksyen 17(a) Akta SPRM boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai terlibat atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.
Mahkamah membenarkan jumlah dan syarat itu serta menetapkan 4 Mac untuk sebutan semula kes.
Tertuduh diwakili peguam Aiman Abdul Rahman.- BERNAMA