fb fb fb fb fb

10 premis judi haram dipotong elektrik, 29 individu ditahan

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.A Anbalagan (dua, kiri) melihat meter haram yang dipasang pihak tertentu ketika Ops Dadu hari ini/Foto BERNAMA

PUCHONG, 5 Februari - Polis menahan 29 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian menerusi Op Dadu dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Kinrara, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner (ACP) A. A. Anbalagan, berkata suspek terdiri daripada 20 warga tempatan dan sembilan warga asing.

"Sindiket perjudian itu dikesan menyediakan tablet bagi memudahkan operasi haram mereka di premis berkenaan.

"Dalam serbuan tersebut, kami telah merampas lebih RM4,345 wang tunai, 105 unit tablet, dan tujuh telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam aktiviti perjudian.

"Selain tindakan pemotongan elektrik, kami turut menampal notis sitaan di bawah Seksyen 15 terhadap premis yang dipercayai telah beroperasi selama sebulan," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi pemotongan elektrik, di sini hari ini.

Katanya, premis tersebut antara sepuluh lokasi haram yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Premis yang disita memerlukan pemiliknya untuk tampil bagi mendapatkan sambungan meter elektrik baharu.

Tambah beliau, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) menerusi Op Dadu, yang dilaksanakan sejak 16 Julai 2023 hingga 19 Januari lalu.

GRACE AISYAH KEDAYAN