KANGAR, 5 Februari - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar kanabis seberat 2,260 gram di Padang Besar pada 23 Jan lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Naqiuddin Mohd Sahabuddin, 21, yang hanya mengaku faham selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Dia dituduh mengedar dadah berbahaya berkenaan di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Padang Besar pada 9.16 pagi, dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 12 kali sekiranya tidak dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA