fb fb fb fb fb

Jho Low catur operasi 1MDB

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, telah mencaturkan pengoperasian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun tidak dilantik secara sah dan tidak memegang sebarang jawatan dalam syarikat itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Penguasa Kanan Nur Aida Ariffin kepada Mahkamah Tinggi pada perbicaraan yang berlangsung hari ini.

Nur Aida Ariffin bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, mengenai perkara tersebut ketika disoal balas semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri itu.

Nur Aida juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa di peringkat awal penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), Jho Low telah dilantik secara sah sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu dan beliau bukan dilantik oleh Datuk Seri Najib.

TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 sebagai entiti milik Kerajaan Negeri Terengganu dan kemudian dinamakan semula sebagai 1MDB pada 25 September tahun sama.

Sebelum ini, bekas pegawai khas Datuk Seri Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ketika memberikan kenyataan sebagai saksi pada 5 September 2019 berkata, Jho Low melalui perspektifnya dilihat sebagai tuan boneka kerana dia boleh memanipulasi sesiapa sahaja tanpa mengira status untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Datuk Seri Najib, 70 tahun berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE