fb fb fb fb fb

Hina Raja Perlis: Peniaga dipenjara enam bulan

Foto RTM

KANGAR, 4 Julai-Tindakan seorang peniaga barangan basah memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Raja Perlis di Facebook pada 6 Mac lalu membawa padah apabila dia dihukum penjara enam bulan serta denda RM 15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar.

Tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, dari Changlun, Kedah mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan dihadapan Hakim, Musyiri Peet.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh beliau ditahan pada 7 Mac lalu dan tambahan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Hasbullah melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil 'Muhammad Muhammad (ku tehh ku muhammad)' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Raja Perlis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Semasa prosiding, tertuduh yang diwakili peguam, Siti Hajar Ahmad merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu lumpuh serta seorang adik yang juga orang kurang upaya.
 
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh telah menghina Institusi Diraja dan Institusi Agama sedangkan ia kesalahan yang serius serta memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengganggu keharmonian dan keselamatan negara.
 
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD