fb fb fb fb fb

Empat ditahan, cuba curi kabel telefon

Kereta yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel telefon

ARAU, 27 September- Polis cawangan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontijen Perlis menahan empat penjenayah yang sedang mencuri kabel telefon di Taman Jejawi Permai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi tadi, sepasukan anggota polis sedang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi, anggota polis bersama-sama pasukan cuba menahan kenderaan berkenaan namun pemandunya enggan memberikan kerjasama.

"Malah bertindak memandu dengan laju ke arah anggota polis dalam cubaan untuk merempuh serta melarikan diri.

"Anggota yang merasa terancam telah melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan tersebut sebagai langkah untuk mempertahankan diri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun cuba mencuri kabel tembaga milik Telekom Malaysia (TM).

Kesemua suspek ditahan reman hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut dan Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana ⁠khianat dengan membencanakan kabel.

Bagaimanapun dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Selain itu polis turut merampas kenderaan yang dipandu bersama-sama pelbagai peralatan untuk mencuri kabel termasuk kunci 'main-hole'.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI