fb fb fb fb fb

Dua pelajar China dakwa dipukul pemandu e-hailing guna kerusi lipat

Yuan Yuanbo dan Sim Chon Siang

KUANTAN, 19 Disember- Dua pelajar warga China mendakwa mereka dipukul menggunakan kerusi besi lipat oleh pemandu e-hailing sehingga menyebabkan salah seorang daripadanya cedera.

Mangsa, Yuan Yuanbo, 22, memberitahu, kejadian berlaku di pekarangan sebuah hotel di sini, Pahang, sekitar pukul 6.19 petang, Sabtu lalu, selepas mereka menggunakan perkhidmatan itu.

Yuan berkata, dia dan rakan datang melancong ke sini selama dua hari sejak Jumaat lalu.

"Selepas saya tutup pintu kereta dan menuju ke hotel, tiba-tiba pemandu itu memukul saya dengan objek besi sebanyak tiga atau empat kali.

"Dia cuba pukul saya di muka dan lengan. Saya gunakan lengan saya untuk lindungi muka daripada dipukul.

"CCTV (rakaman kamera litar tertutup) ada merakam perbuatan itu," katanya pada sidang media di Pejabat ADUN Teruntum di sini.

Pelajar jurusan ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang itu bingung apabila tidak mengetahui motif sebenar serangan berkenaan sebelum terus pulang ke kediamannya di Serdang, Selangor kerana takut serta mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, ADUN Teruntum, Sim Chon Siang yang diberitahu mengenai kejadian telah menghubungi mangsa dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan untuk membuat laporan pada tengah malam tadi.

Sim berkata, pihaknya akan membantu mangsa mendapatkan pembelaan, selain menanggung kos yang dihadapi mangsa termasuk rawatan.

Difahamkan, mangsa mengalami retak tulang pada dua jari tangan kanan serta beberapa kesan lebam di badan termasuk muka.

Sehubungan itu, Sim menggesa polis mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang membabitkan pelancong luar negara.

"Kita akan minta polis ambil tindakan. Rawatan perubatan mungkin kerajaan negeri akan bayar, jika tidak, saya yang akan bayar. Kita tidak mahu ia jadi satu kes pergaduhan antara negara China," katanya pada sidang media sama.

SITI AISHAH BINTI MD ISA