KLUANG, 12 Disember- Polis menahan dua lelaki bersama sejumlah serbuk ekstasi bernilai kira-kira RM1.1 juta, di sebuah rumah dekat Taman Permata di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata, dua suspek masing-masing berumur 26 tahun itu, menjadikan kediaman berkenaan sebagai tempat memproses dan mengedar dadah.
Sekitar tujuh kilogram serbuk ekstasi yang dipaketkan dalam bungkusan plastik, berjaya dirampas ketika operasi berkenaan kira-kira 10.00 pagi.
Sindiket juga cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah terbabit dalam bungkusan minuman.
Turut disita, dua buah kenderaan dan wang tunai, keseluruhannya bernilai RM13,600.
Dua lelaki berkenaan, didapati positif dadah dan mempunyai rekod berkaitan jenayah, komersial dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.