fb fb fb fb fb

1,982 kes tipu dalam talian libat warga pendidik

Komisioner Polis Datuk Wan Hassan Wan Ahmad (ketiga dari kanan)/Foto RTM

LABUAN, 12 November -Sebanyak 66,186 kes jenayah siber melibatkan kerugian lebih RM2.589 bilion direkodkan di seluruh negara dari tahun 2023 hingga November 2024, menurut statistik dikongsi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Komisioner Polis Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata warga pendidik juga tidak terkecuali menjadi mangsa scam atau penipuan dengan angka yang semakin meningkat setiap tahun.

“Sebanyak 1,982 kes direkodkan sejak tahun lalu melibatkan kerugian melebihi RM55 juta. Walaupun berpendidikan, mereka (penjenayah) menggunakan taktik mempengaruhi mangsa, jadi elakkan panggilan mencurigakan dan rujuk kepada pihak berwajib untuk mengelak ditipu,” katanya.

Antara jenayah tertinggi ialah telekomunikasi (711 kes), e-dagang (578 kes), pelaburan tidak wujud (296 kes), jenayah e-kewangan (173 kes), dan pinjaman tidak wujud (171 kes). Selain itu, terdapat 53 kes love scam yang turut melibatkan warga pendidik.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan, menyifatkan kerjasama dengan PDRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai langkah penting dalam menangani jenayah scam terhadap guru.

“Hampir setiap hari berlaku kes melibatkan guru. Dengan cara ini, kita dapat menangani satu persatu supaya tidak berulang,” katanya.

Program Kesedaran Antiscam selama tiga hari yang berlangsung di Sekolah Antarabangsa Labuan itu disertai oleh 1,175 pendidik dari sekitar Labuan.

GRACE AISYAH KEDAYAN