fb fb fb fb fb

Dua lelaki disyaki dera, lakukan amang seksual di pusat jagaan di Ampang

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes dera dan amang seksual di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Lembah Jaya Selatan, Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata penahanan itu melibatkan seorang lelaki warga asing dan warga tempatan masing-masing berusia 27 tahun.

Kedua-dua suspek ditahan pada 5 petang atas dua laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

"Kedua-dua anak yatim berumur 13 dan 14 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya pada 1.36 tengah hari dna 2.03 petang," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek bertindak memukul mangsa berumur 14 tahun menggunakan kayu dibahagian peha dan menampar pipi kanak-kanak perempuan itu

Manakala seorang lagi mangsa berusia 13 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika mangsa berada di pusat jagaan kanak-kanak, mangsa telah ditarik oleh suspek (warga tempatan) yang merupakan penjaga sukarelawan.

"Ketika berada di bilik butik, suspek bertindak mencabul dan merogol mangsa namun tindakan suspek terhalang setelah rakan mangsa masuk ke bilik tersebut," katanya.

Kedua-dua suspek direman sehingga 2 November bermula hari ini.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

GRACE AISYAH KEDAYAN