fb fb fb fb fb

Dua beradik dan suami masing-masing mengaku tidak bersalah rompak rumah Kieda Crepe

Kesemua tertuduh diiringi polis ketika meninggalkan mahkamah

BUTTERWORTH, 19 Jun- Dua pasangan suami isteri termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan menyimpan harta rompakan iaitu barang kemas seberat 247.65 gram (g) milik seorang usahawan yang juga pempengaruh media sosial 'Keida Crepe' April lepas.

Tertuduh, Muhammad Ezwan  Syafiq Joha (27), Nurul Hidayah Mahat (24), Endang Nur Nabila Suriana Mahat (22), dan Muhammad Affizan Abdullah (24), didakwa secara bersama dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mereka dituduh menyimpan seutas gelang tangan, seutas rantai leher gantung ‘love’, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher yang keseluruhannya seberat 247.65 g kepunyaan Siti Nur Khalida Yusra Mohd Jais melalui hasil  rompakan berkumpulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Aman, Kepala Batas Pulau Pinang pada 9 malam pada 25 April lalu.

Pendakwan dikemukakan mengikut  Seksyen 412 Kanun Kesiksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun kesiksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya ,Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh, namun peguam Ranjit Singh Sandhu yang mewakili mereka memohon ikat jamin.

Menurutnya Ranjit, anak guam wanitanya yang juga adik beradik  mempunyai masalah  kencing manis kronik selain salah seorang daripadanya mempunyai dua anak yang masih kecil.

Hakim kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM18,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Syarat tambahan juga dikenakan dengan kesemua tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dilarang mendekati mangsa serta saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE