fb fb fb fb fb

Polis rampas dadah bernilai RM13.5 juta

Datuk Khaw Kok Chin (kanan) menunjukkan kepada media antara dadah yang dirampas

PUCHONG, 19 Jun- Polis berjaya merampas dadah bernilai RM13.5 juta sekali gus menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Puchong, Selangor Isnin lepas.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin, kejayaan itu susulan serbuan hasil kerjasama antara pasukan khas JSJN Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Kelantan.

Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun turut ditahan dipercayai terlibat aktiviti menyimpan dan membungkus dadah di sebuah rumah teres dua tingkat.

Hasil siasatan polis mendapati suspek menggunakan ruang but kereta yang telah diubah suai bagi memuatkan dadah dengan anggaran kapasiti sehingga 80 kg agar tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

"71 bungkusan plastik yang berlabel ‘tie guan yin’ anggaran berat 73.50 kg ketamin dan 300 bungkusan plastik bertulisan ‘guanyinwang’ anggaran berat 308.691 kg syabu,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Jelas Khaw, kenderaan yang diubah suai itu digunakan untuk menghantar dadah di sekitar Lembah Klang dengan upah RM6,000 bagi setiap penghantaran.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE