fb fb fb fb fb

Cubaan samun juruteknik depan stesen minyak, empat lelaki ditahan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan/ BERNAMA

SHAH ALAM, 8 Ogos- Polis memberkas empat lelaki warga tempatan disyaki terlibat dengan cubaan samun bersenjatakan kayu di depan sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Subang Jaya, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kesemua suspek ditahan di sekitar Shah Alam dan Klang pada kira-kira 5.30 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

“Keempat-empat suspek ini berusia 30 hingga 41 tahun dan mempunyai rekod lampau dalam kes jenayah dan narkotik. Mereka akan direman hari ini di Mahkamah Shah Alam bagi siasatan lanjut,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hussein berkata pihaknya turut merampas sebuah kereta, motosikal, serta enam telefon bimbit.

Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 37 tahun yang bekerja sebagai juruteknik, pada 1.37 pagi mengenai kejadian itu.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 46 saat yang dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan mangsa memaparkan sebuah kereta dan motosikal menghalang kenderaan mangsa, diikuti beberapa lelaki menyerang mangsa menggunakan kayu sebelum mangsa berjaya melarikan diri.

ZEHRA BINTI ZAMBRI